KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebulat suara bersetuju untuk meneruskan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat AMT GRS semalam yang turut membincangkan persiapan gabungan berkenaan menjelang pilihan raya.
Menurut beliau, kerjasama GRS–PH yang terjalin sebelum ini telah memainkan peranan penting dalam menstabilkan politik Sabah, sekali gus memberi ruang kepada Kerajaan Negeri menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri termasuk menyelesaikan isu kemudahan asas.
“Kita akan duduk semeja dengan kepimpinan PH dalam masa terdekat bagi menentukan agihan kerusi yang akan ditandingi oleh parti masing-masing. GRS kekal berpendirian bahawa parti-parti tempatan hendaklah mengambil peranan utama dalam kerjasama yang akan dipersetujui,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.
Masidi turut menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut tidak membincangkan atau menyentuh sebarang bentuk kerjasama dengan parti lain bagi menghadapi PRN17.
Kerjasama GRS–PH yang sedia ada dilihat sebagai formula politik yang berjaya mengekalkan kestabilan pentadbiran negeri sejak PRN 2020, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

