Site icon TUHAU BAMBANGAN

9 anggota & pegawai dari JSJ Bukit Aman dihantar ke Sabah, ambil alih kes Zara Qairina

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ke Sabah bagi mengambil alih siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Menurut kenyataan Pejabat Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat), pasukan task force yang terdiri daripada sembilan pegawai dan anggota itu digerakkan sebagai komitmen PDRM untuk memastikan siasatan dijalankan dengan telus, menyeluruh, dan berlandaskan profesionalisme.

“PDRM memandang serius setiap kes yang melibatkan kehilangan nyawa.

“Sehubungan itu, kami menyeru agar semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan profesional serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan,” katanya di sini, hari ini.

Proses bedah siasat terhadap jenazah Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir telah dijalankan semalam di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu, selepas kuburnya digali semula pada 10 Ogos 2025.

Peguam keluarga, Shahlan Jufri, hadir menyaksikan keseluruhan prosedur yang berlangsung selama kira-kira lapan jam dari jam 11 pagi hingga 7.30 malam.

Menurut beliau, proses tersebut dikendalikan oleh empat pakar forensik dengan kehadiran anggota polis dan jurugambar rasmi.

Shahlan turut mengesahkan wujud kecederaan pada tubuh Allahyarhamah, termasuk patah, namun enggan mendedahkan butiran lanjut kerana laporan bedah siasat adalah dokumen sulit yang hanya boleh dibentangkan di mahkamah sekiranya prosiding inkues diadakan.

Selesai proses, jenazah Allahyarhamah dibawa pulang ke kampung halamannya di Sipitang dan dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi

Terdahulu, media melaporkan Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di hospital pada keesokan harinya.

Sumber: Sinar Harian

Exit mobile version