Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kes Zara: KPM rayu henti perhimpunan di depan SMKA Tun Datu Mustapha

KUALA TERENGGANU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merayu orang ramai agar tidak mengadakan perhimpunan atau demonstrasi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, susulan kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, menegaskan bahawa pihaknya, termasuk pengurusan tertinggi KPM dan Menteri Pendidikan, amat mengutamakan keadilan untuk Allahyarhamah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keadilan juga perlu diberikan kepada pelajar dan guru di sekolah tersebut, yang kini turut terkesan secara emosi dan psikologi akibat kontroversi yang sedang berlaku.

“Kita tidak mahu ada Zara kedua, ketiga atau keempat. Dalam kita memperjuangkan keadilan untuk arwah, jangan sampai kita membuli emosi, perasaan dan psikologi pelajar di sekolah berkenaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Guru Madani dan Penyerahan BAP Tingkatan 6 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Dr Mohd Azam berkata, KPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan kes ini diselesaikan secara telus dan menyeluruh. Beliau juga menyeru agar semua pihak memberi kepercayaan kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Saya merayu, elakkanlah perkara-perkara negatif seperti membuat demonstrasi di hadapan sekolah. Kita juga perlu menjaga emosi pelajar dan guru di sekolah tersebut,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang sengaja menimbulkan konflik hingga menggugat kesejahteraan mental, emosi dan psikologi warga sekolah.

Sehubungan itu, KPM sedang meneliti langkah-langkah keselamatan tambahan, termasuk penambahan warden asrama dan memastikan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) yang lebih berkesan.

“Saya juga sudah arahkan Jemaah Nazir mengadakan audit keselamatan untuk sekolah dan asrama. Saya mahu audit ini dilakukan setiap hari di semua sekolah dan saya mahukan laporan segera,” katanya lagi.

Sumber: Harian Metro

Exit mobile version