Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kes Zara: Siasatan mesti teliti, tanpa rasa takut atau pilih kasih – TYT Sabah

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Musa Aman, mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan telus berhubung kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Seri Kinabalu hari ini, Tun Musa menegaskan bahawa siasatan perlu dilaksanakan dengan penuh ketelitian, tanpa rasa takut atau pilih kasih, berlandaskan kebenaran dan keadilan.

“Setiap aspek mesti disiasat sepenuhnya. Menuntut keadilan bukanlah satu bentuk pembalasan, sebaliknya ia adalah perintah Allah SWT untuk melindungi yang lemah dan menghukum mereka yang bersalah,” katanya.

Menurut beliau, bedah siasat telah dilakukan semalam dan pihak berkuasa kini menunggu hasil analisis tersebut.

Pada masa sama, pihak Istana menyeru orang ramai, terutamanya pengguna media sosial, agar tidak membuat spekulasi, menyebarkan tuduhan tidak berasas atau menggalakkan teori konspirasi yang boleh mengganggu integriti siasatan dan menambah kesedihan keluarga mangsa.

Tun Musa turut meminta semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dengan adil, sambil berdiri seiring bersama keluarga Zara dalam usaha mencari kebenaran dan penyelesaian.

Dalam kenyataan sama, beliau bersama Toh Puan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan menghadapi dugaan berat ini.

Sebagai tanda solidariti, Majlis Tahlil dan Doa Peringkat Negeri untuk Allahyarhamah Zara akan diadakan pada Khamis, 14 Ogos 2025 selepas solat Maghrib di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, dipimpin Sahibus Samahah Mufti Negeri Sabah.

Majlis serupa turut akan diadakan serentak di semua masjid dan surau di seluruh negeri.

Tun Musa juga menggalakkan umat Islam hadir beramai-ramai, manakala mereka yang bukan beragama Islam digalakkan berdoa mengikut kepercayaan masing-masing.

“Keselamatan dan kebajikan anak-anak kita mestilah sentiasa menjadi keutamaan. Semoga Allah SWT menempatkan Allahyarhamah Zara dalam kalangan orang beriman dan memberikan kekuatan kepada kita semua untuk melindungi anak-anak daripada tragedi sebegini pada masa hadapan,” katanya.

Exit mobile version