Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sebar berita palsu & kandungan 3R berkaitan kes Zara di Facebook, individu dipanggil & disiasat

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, yang dipercayai mengandungi maklumat palsu serta bersifat 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Kandungan sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam dan menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.

Menurut MCMC, individu terbabit telah dipanggil untuk sesi rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 9 Ogos lalu.

Dalam operasi tersebut, pihak berkuasa turut menyita satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 \[Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

MCMC mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sebarang kandungan spekulasi yang belum disahkan, kerana ia berisiko mengguris hati keluarga mangsa, bercanggah dengan nilai etika, serta boleh mengganggu proses keadilan.

“Beri ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan. Sebaran maklumat yang tidak tepat bukan sahaja menimbulkan kekeliruan awam, malah boleh menghalang pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus,” tegas kenyataan itu.

Exit mobile version