Site icon TUHAU BAMBANGAN

Suasana proses bedah siasat jenazah Zara ‘sayu’ – Peguam

KOTA KINABALU: Proses bedah siasat semula jenazah pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, di Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) pagi ini berlangsung dalam suasana sayu, diiringi kehadiran keluarga, peguam, serta penyokong yang menuntut keadilan bagi arwah.

Bedah siasat tersebut dijalankan susulan arahan Mahkamah Majistret dan diketuai oleh pakar patologi, Dr Jessie Hiu bersama tiga lagi pakar, dengan bantuan Ketua Jabatan Forensik Hospital Serdang, Dr Khairul Anuar Zainun.

Peguam keluarga, Hamid Ismail berkata, suasana penuh emosi menyelubungi persekitaran hospital selain suasana sayu ketika proses bedah siasat berlangsung di dalam.

Dilaporkan, sebelum pemeriksaan dilakukan, Dr Jessie memberikan taklimat kepada ibu Allahyarhamah dan peguam keluarga mengenai prosedur serta tempoh jangkaan proses, yang dianggarkan mengambil masa empat hingga lima jam.

Dr Khairul tiba sekitar jam 10.55 pagi bagi bersama-sama menjalankan pemeriksaan forensik tersebut. Seorang peguam keluarga turut berada di dalam bilik pemeriksaan sepanjang proses berlangsung.

Allahyarhamah Zara ditemui tidak sedarkan diri di parit berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di HQE1 keesokan harinya. Kes ini dikaitkan dengan dakwaan insiden buli dan mencetuskan reaksi besar di Sabah serta seluruh negara.

Selepas Jabatan Peguam Negara meneliti laporan siasatan awal, arahan telah dikeluarkan untuk menggali semula kubur dan melakukan bedah siasat semula bagi mendapatkan maklumat tambahan.

Proses penggalian semula pada 9 Ogos di Kampung Mesapol, Sipitang, mengambil masa kira-kira 40 minit dalam keadaan hujan dan disaksikan oleh pihak berkuasa, termasuk Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun dan Pengarah Jabatan Peguam Negara Sabah.

Hamid menegaskan bahawa keluarga berharap proses ini akan merungkai punca sebenar kematian dan membuka jalan kepada prosiding inkues yang telus.“Ini adalah langkah penting untuk memastikan kebenaran tidak disembunyikan dan keadilan untuk arwah ditegakkan,” katanya.

Exit mobile version