KOTA KINABALU: Ketibaan jenazah pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, di Hospital Queen Elizabeth I (HQE1) lewat malam Sabtu bagi proses bedah siasat disambut laungan “JusticeforZara” dan takbir Allahu Akba oleh kira-kira 100 orang ramai yang hadir.
Kenderaan polis membawa jenazah tiba di Jabatan Radiologi pada jam 10.30 malam untuk imbasan CT sebelum dipindahkan ke Jabatan Patologi Forensik jam 10.50 malam.
Peguam keluarga arwah, Hamid Ismail, ketika ditemui memaklumkan bahawa bedah siasat dijadualkan akan dijalankan pada jam 9 pagi Ahad oleh pakar forensik, Dr Jessie Hiu dan dijangka selesai pada hari sama bagi membolehkan pengebumian semula.
Menurut beliau, proses ini diharap dapat memberikan penjelasan menyeluruh mengenai punca kematian Zara serta membuka ruang kepada pelaksanaan inkues.
Proses penggalian semula di Kampung Mesapol, Sipitang, pada jam 6 petang Sabtu dilakukan dalam keadaan hujan dan mengambil masa kira-kira 40 minit.
Proses itu katanya turut disaksikan wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Pejabat Mufti Negeri, pegawai forensik, serta dihadiri Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, dan Pengarah Jabatan Peguam Negara Sabah.
Ibu mangsa, Noraidah Lamat, turut kelihatan berada di HQE1 ketika jenazah arwah tiba sebelum meninggalkan kawasan hospital menaiki kenderaan jenazah.
Zara dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di kawasan asrama Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Tiada autopsi dijalankan sebelum pengebumian, menyebabkan keluarga kini menuntut keadilan melalui proses kehakiman yang sah.

