SELANGOR: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, menafikan dakwaan yang mengaitkan anaknya dengan insiden tragis kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, di Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, baru-baru ini.
Mohd Arifin menjelaskan, semasa Allahyarhamah dirawat di hospital, beliau bersama Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah hadir menziarahi ibu pelajar berkenaan sebagai tanda keprihatinan.
“Pertamanya, ketika arwah masih dirawat, saya bersama Ketua Pengarah KPM telah bertemu dan menziarahi ibu beliau.
“Keduanya, empat hari selepas arwah meninggal dunia, saya bersama rombongan Yayasan Sabah dan wakil rakyat Sindumin telah pergi ke Sipitang untuk menziarah keluarga serta menyampaikan salam daripada Ketua Menteri,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bersama mahasiswa Sabah, hari ini.
Mengulas dakwaan di media sosial yang menyebut nama “Farisha” sebagai anaknya dan dikaitkan dengan sekolah tersebut, Mohd Arifin menegaskan ia tidak benar.
“Saya tidak ada anak bernama sedemikian dan tiada anak saya yang belajar di sekolah menengah berkenaan,” tegasnya.
Beliau yang juga Exco Pendidikan dan Agama Negeri mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, selain menyeru keluarga mangsa agar tabah menghadapi ujian ini.
“Kita tunggu hasil siasatan polis. Kita tidak akan berkompromi berhubung apa yang berlaku kepada pelajar ini, dan kita minta supaya siasatan terbuka terus dilaksanakan demi keadilan untuk arwah,” katanya.

