Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kes Zara: “Siasatan akan dibuat tanpa kira status dan kedudukan individu” – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa siasatan penuh, terbuka dan telus akan dijalankan berhubung kematian pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, di Sabah.

Anwar berkata, siasatan akan dilakukan tanpa mengira status atau kedudukan individu yang terlibat, termasuk orang kenamaan, dan tiada pihak akan dilindungi sekiranya didapati bersalah.

“Tidak kira siapa pun yang terlibat, orang kenamaan atau orang biasa, tiada tolak ansur. Setiap kematian mesti disiasat tanpa cubaan melindungi mana-mana pihak demi keadilan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan tragedi tersebut sebagai modal politik, sambil menyifatkan tindakan memanipulasi kesedihan keluarga untuk meraih keuntungan politik sebagai tidak berperikemanusiaan.

“Jangan bina istana di atas pusara. Nyawa yang terkorban bukan bahan permainan untuk diperalatkan,” tegasnya.

Perdana Menteri memaklumkan bahawa, mengikut lunas undang-undang dan atas syak wasangka, Peguam Negara telah mengarahkan supaya mayat Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.

Langkah itu, katanya, penting untuk memulihkan keyakinan rakyat bahawa kebenaran tidak disembunyikan.

Anwar sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dalam menegakkan keadilan.

“Tiada sesiapa, termasuk VIP, akan dilindungi jika bersalah. Pembunuh tetap pembunuh, dan undang-undang mesti ditegakkan demi memastikan setiap nyawa dihargai serta keadilan ditegakkan,” katanya.

Exit mobile version