TONGOD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, menggesa kerajaan menggubal akta khusus jenayah buli dengan hukuman lebih berat termasuk sebatan, terutama bagi kes yang mengorbankan nyawa.
Menurut beliau, peruntukan undang-undang sedia ada terlalu ringan dan gagal menimbulkan rasa gentar dalam kalangan pembuli, khususnya pesalah juvana, kerana tiada undang-undang khusus yang memperuntukkan hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan.
“Selain kes yang melibatkan kematian, jenayah serius termasuk kecederaan parah terhadap mangsa perlu dimasukkan dalam akta berkenaan.
“Hukuman sebat lebih praktikal bagi penjenayah juvana sebagai keadilan kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa.
“Akta sekarang masih ringan berbanding hukuman gantung sampai mati yang dikenakan ke atas penjenayah dewasa,” tegasnya ketika merasmikan Graduasi Tingkatan Enam daerah Telupid/Tongod di Dewan Simpang Entilibon, semalam.
Masiung, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian tragis pelajar tingkatan satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, 13, di Asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Kinarut pada 16 Julai lalu.
Allahyarhamah ditemui tidak sedarkan diri di parit asrama sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Menurut Masiung, remaja dan ibu bapa sedia maklum bahawa pesalah juvana yang didapati bersalah membunuh atau mencederakan mangsa hanya berdepan hukuman penjara beberapa tahun dan denda, menyebabkan undang-undang yang lemah ini gagal membendung jenayah buli.
“Kes bunuh dalam kalangan pelajar, terutama di asrama, tidak akan dapat dibanteras selagi tiada undang-undang khusus yang lebih tegas. Statistik dan kekerapan kes membuktikan kelemahan undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tragedi buli Zara Qairina bukan sahaja membangkitkan kemarahan rakyat di seluruh negara, malah turut menjadi perhatian media antarabangsa.
Terdahulu, negara pernah digemparkan dengan kes kematian Mohammad Nazmie Aizat, 17, di asrama Kolej Vokasional Lahad Datu pada November lalu selepas dipukul 13 pelajar, dan kes penderaan sehingga menyebabkan kematian pelatih Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain, pada 2017.
Bagi mengukuhkan langkah pencegahan, Masiung mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diwajibkan di setiap bangunan sekolah dan asrama untuk memantau kejadian buli serta salah laku pelajar.
Sebagai sokongan kepada inisiatif itu, beliau meluluskan peruntukan RM36,000 bagi pemasangan CCTV di Sekolah Menengah Entilibon, Penangah dan Tongod.

