KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa kubur pelajar berusia 13 tahun, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, akan digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat (post-mortem) dilakukan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, CP Datuk M. Kumar A/L S. Muthuvelu berkata, keputusan itu dibuat selepas Jabatan Peguam Negara meneliti dan menilai laporan siasatan yang dikemukakan oleh pihak polis.
Menurut beliau, proses ini bertujuan mendapatkan maklumat serta bukti tambahan yang diperlukan bagi melengkapkan siasatan berhubung kematian remaja berkenaan.
“Prosedur bedah siasat dan penggalian semula akan dilaksanakan dengan kadar segera berlandaskan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
PDRM menegaskan bahawa keadilan akan sentiasa ditegakkan, dan semua tindakan siasatan dilakukan mengikut lunas undang-undang berdasarkan fakta serta keterangan yang diperoleh.
Kumar turut memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan, dan kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Jabatan Peguam Negara dalam tempoh terdekat.

