MACHANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan, susulan arahan yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau telah menerima taklimat daripada Ketua Polis Negara pada pagi ini dan mengarahkan tindakan segera diambil.
“Kita akan melakukan proses gali kubur secepat mungkin. Fokus kita adalah mengemas kini siasatan serta mengumpul semua bukti yang relevan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan. Kita mesti berlaku adil kepada semua pihak arwah Zara, keluarganya, pihak sekolah dan para guru,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ijtima’ MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan di sini seperti yang dilaporkan Berita Harian.
Semalam, media melaporkan AGC mengarahkan penggalian semula kubur pelajar berusia 13 tahun itu bagi membolehkan bedah siasat dilakukan.
Dalam kenyataannya, AGC menegaskan keperluan untuk PDRM menjalankan siasatan lanjut agar semua aspek dapat diperincikan secara menyeluruh.
Saifuddin memberi jaminan proses tersebut akan dilaksanakan segera dan perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Namun, ketika ditanya sama ada jenazah Zara Qairina tidak pernah melalui proses bedah siasat sebelum ini, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada proses siasatan, sambil menegaskan bahawa beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

