Site icon TUHAU BAMBANGAN

Bung Moktar selar Arthur, tegaskan UMNO Sabah tahu arah tuju politik sendiri

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan bahawa UMNO-BN Sabah mempunyai hala tuju politik yang jelas dan tidak memerlukan campur tangan atau nasihat daripada pihak luar, khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS).

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Naib Presiden PBS, Arthur Sen, yang disifatkan sebagai memperlekeh dan mencabar autonomi UMNO Sabah dalam isu kerjasama pilihan raya.

“Kenyataan beliau tidak diperlukan, tidak relevan, dan tidak memberi nilai tambah kepada proses politik matang yang sedang UMNO-BN usahakan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Bung Moktar menegaskan, UMNO-BN Sabah berpegang kepada prinsip perpaduan, bersikap matang dalam membuat keputusan, dan tidak bertindak secara tergesa-gesa atau terikut-ikut rentak politik panik pihak lain.

“UMNO-BN tahu bila untuk bertindak, dengan siapa bekerjasama, dan bila masanya berdiri sendiri. Kami tidak akan bekerjasama dengan parti yang tidak bermaruah, tidak ikhlas, dan mempunyai sejarah mengkhianati rakan seperjuangan,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau membidas PBS sebagai parti kecil yang “menyewa ruang” dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetapi mahu mengarah dan memberi cabaran kepada parti lain.

Bung turut menegaskan UMNO-BN Sabah akan terus membina kekuatan sendiri di lapangan dengan persediaan jentera, calon, dan naratif politik yang diyakini rakyat, tanpa bergantung pada persepsi murahan di media sosial.

“Untuk Arthur Sen, sebelum sibuk menilai kekuatan UMNO, sila lihat dulu kekuatan kerusi anda sendiri. Jangan sampai suara paling kecil dalam gabungan jadi paling lantang, walhal paling lemah bila undi rakyat tiba,” katanya.

Exit mobile version