KOTA KINABALU: Telefon bimbit milik ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir akhirnya diserahkan kepada pihak polis petang tadi bagi membantu siasatan berhubung kematian tragis remaja berusia 13 tahun itu.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam ibu Zara, iaitu Hamid Ismail, dalam satu sidang media ringkas yang diadakan petang tadi di pekarangan Balai Polis Karamunsing.
Menurut Hamid, telefon bimbit berkenaan mengandungi rakaman audio penting antara arwah dan ibunya, Noraidah Lamat yang boleh menjadi bahan bukti relevan dalam siasatan.
Katanya, telefon itu telah diserahkan kepada polis sekitar jam 4 petang sebelum ia dihantar ke Jabatan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cheras untuk analisa teknikal.
“Ini adalah salah satu item penting kerana dalam telefon itu ada rakaman-rakaman suara antara arwah Zara dan ibunya. Proses penyerahan berjalan lancar dan kita berterima kasih kepada polis kerana memberi kerjasama penuh,” ujar Hamid.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menghentikan segala bentuk spekulasi dan komen tidak bertanggungjawab di media sosial yang hanya menambah tekanan terhadap ibu mangsa yang masih dalam keadaan trauma dan berduka.
“Saya mohon semua orang ramai berhenti buat spekulasi liar. Ibu Zara sangat tertekan. Dia baru kehilangan anak perempuan yang baru berusia 13 tahun. Dia perlukan doa dan sokongan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai perkembangan lain, Hamid memaklumkan bahawa selain telefon, pihak polis sebelum ini turut menerima barangan peribadi dan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika kejadian. Namun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai butiran barangan lain atas dasar menghormati siasatan.
Hamid turut memaklumkan bahawa ibu Zara hadir ke balai bersama seorang wakil NGO, iaitu Marhamah Rosli, dan memilih untuk ditemani NGO kerana lebih selesa.
Dalam pada itu, Hamid mengesahkan bahawa Peguam Negara telah menyerahkan semula kertas siasatan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, namun sama ada ia kini dikendalikan oleh polis Bukit Aman atau kontinjen Sabah masih belum dipastikan.
Mengulas mengenai perkembangan permohonan inkues dan permintaan untuk menggali semula kubur arwah Zara bagi tujuan bedah siasat, Hamid berkata tiada makluman rasmi diterima setakat ini namun pihaknya akan segera memaklumkan kepada umum sekiranya ada perkembangan terkini.
Siasatan berhubung kes kematian tragis Zara Qairina masih berlangsung. Orang ramai dinasihatkan agar memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas secara profesional dan mengelak daripada menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses keadilan.

