KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat lebih 10 laporan polis susulan penularan pelbagai bentuk maklumat palsu berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.
Laporan polis itu dibuat selepas Bahagian Undang-Undang KPM mendapati kandungan tular dalam bentuk video dan penulisan di media sosial boleh menimbulkan kemarahan awam terhadap guru dan pelajar sekolah tersebut.
Selain itu, beberapa laporan turut dikemukakan oleh guru serta ibu bapa kepada pelajar yang nama, wajah dan identiti mereka telah didedahkan tanpa kebenaran.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan tersebut merupakan langkah perlindungan terhadap kesejahteraan warga sekolah yang berdepan tekanan emosi dan risiko keselamatan akibat tuduhan yang tidak berasas.
“Siasatan terhadap kes ini sedang dijalankan oleh pihak polis. Namun malangnya, ramai pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan pelbagai teori dan tuduhan palsu yang akhirnya mengganggu proses siasatan serta keselamatan pelajar lain,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada sebuah video yang mendakwa Zara mengalami kecederaan dalaman akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh, satu naratif yang disifatkan tidak berasas dan amat mengelirukan.
Menurut Fadhlina, maklumat yang tidak sahih seperti ini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan awam, malah boleh mencetuskan tindakan luar kawalan seperti ugutan atau serangan terhadap pelajar dan guru yang tidak bersalah.
“Bayangkan jika pelajar yang tidak terbabit akhirnya menjadi mangsa fitnah, dan kemudian dibuli atau dipukul hanya kerana persepsi salah orang ramai,” jelasnya.
KPM, jelasnya, telah mengumpul bahan-bahan berkaitan untuk tindakan lanjut dan setakat ini, tindakan pihak kementerian telah menyaksikan beberapa penyebar kandungan palsu menarik semula hantaran mereka.
Dalam pada itu, Fadhlina menjelaskan bahawa siasatan ke atas kes ini melibatkan lebih 60 saksi, dan KPM memastikan semua proses soal siasat mematuhi Akta Kanak-Kanak 2001.
Prosedur siasatan hanya dijalankan dengan kehadiran ibu bapa, guru kaunselor, guru besar atau wakil PIBG.
“KPM tidak berdiam diri. Kami berada di belakang pelajar dan guru untuk memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terpelihara sepenuhnya,” tegasnya.
Zara Qairina dilaporkan ditemui parah di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun sebelum ini memaklumkan siasatan awal tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dan telah menyerahkan laporan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

