Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ketua Polis Negara beri amaran, henti sebar maklumat tidak sahih berkaitan kes Zara Qairina

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak sahih berkaitan kes kematian remaja, Zara Qairina, yang kini sedang dalam siasatan pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, IG Dato’ Sri Mohd Khalid Ismail dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada jam 11 malam tadi, menegaskan bahawa pihaknya mengesan wujudnya penyebaran gambar dan maklumat yang dikaitkan dengan kes tersebut di media sosial oleh pihak tertentu.

“Maklumat yang dikongsi adalah tidak tepat dan berpotensi mengelirukan orang awam. Ia bukan sahaja menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan, malah boleh mengganggu keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Menurut beliau, semua proses siasatan termasuk berkaitan isu bedah siasat telah dijalankan mengikut prosedur dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Sehubungan itu, PDRM menasihatkan orang ramai supaya menghentikan sebarang tindakan memuat naik atau berkongsi kandungan yang tidak disahkan, termasuk identiti, alamat, nama sekolah, dan gambar kanak-kanak yang terlibat.

Tindakan menyebarkan maklumat seumpama itu merupakan kesalahan di bawah beberapa peruntukan undang-undang, antaranya, Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 – larangan mendedahkan maklumat identiti kanak-kanak; Seksyen 203A Kanun Keseksaan – kesalahan berkaitan pendedahan maklumat; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

“Pematuhan kepada undang-undang adalah asas kepada keamanan dan kesejahteraan negara. Sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan tegas,” tegas Ketua Polis Negara.

PDRM turut menegaskan komitmennya dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara demi kepentingan bersama.

Exit mobile version