KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab individu yang membuang pakaian ke dalam kolam air pancut (water fountain) di Jalan Gaya, yang kini tular di media sosial baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan rasmi, DBKK memaklumkan insiden tersebut bukan sahaja mencemarkan kawasan awam, malah turut menyebabkan sistem pengaliran air tersumbat dan mengganggu operasi air pancut berkenaan.
“Pihak kami telah menjalankan kerja-kerja pembersihan segera melalui Jabatan Landskap, dan kerja mengecat semula struktur air pancut juga akan dilaksanakan bagi membaiki kerosakan pada cat sedia ada,” kata kenyataan itu di sini, semalam.
DBKK turut mengingatkan orang awam agar memelihara kebersihan dan keindahan bandar raya demi menjaga imej Kota Kinabalu, terutama kepada pelancong yang berkunjung ke kawasan tumpuan seperti Jalan Gaya.
Menurut DBKK, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk mengeluarkan kompaun terhadap individu yang melanggar peraturan di bawah Undang-undang Kecil (Anti Sampah Sarap) 1984 (Pindaan 2005).
Orang ramai digesa untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang perbuatan vandalisme atau pencemaran awam yang boleh menjejaskan imej bandar raya.

