Site icon TUHAU BAMBANGAN

Ibu Zara serah telefon bimbit mengandungi rakaman perbualan kepada Polis KK petang ini

KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir, Noraidah Lamat, dijadualkan menyerahkan telefon bimbit miliknya yang mengandungi rakaman audio perbualan dengan anaknya kepada pihak polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Kepayan, petang ini.

Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh firma guaman Hamid Ismail & Shahlan Jufri, yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara. Menurut kenyataan itu, penyerahan bahan bukti berkenaan adalah sebahagian daripada usaha membantu pihak polis melengkapkan siasatan berhubung kematian tragis remaja tersebut.

Dalam kenyataan sama, pihak peguam merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara yang telah mengembalikan laporan penuh siasatan awal kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam, bersama arahan untuk melengkapkan beberapa perkara penting sebelum tindakan lanjut diambil.

Tindakan itu selaras dengan permohonan bertulis pihak guaman kepada Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, pada 5 Ogos lalu.

Mereka turut menyatakan harapan agar tiga perkara utama dimasukkan dalam arahan berkenaan, termasuklah, dijalankan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman; penggalian semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, dan pelaksanaan inkues untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian tersebut.

Exit mobile version