Site icon TUHAU BAMBANGAN

9 lelaki ditahan, syabu bernilai lebih RM5,000 dirampas dalam 2 operasi di Lahad Datu

LAHAD DATU: Pihak polis berjaya menahan seramai sembilan lelaki dan merampas hampir 53 gram dadah jenis syabu dalam dua operasi berasingan yang dijalankan di daerah Lahad Datu baru-baru ini.

Operasi pertama dilaksanakan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 17, Kompeni B Lahad Datu pada 6 Ogos 2025 kira-kira jam 12.05 tengah malam, menerusi Op Taring Esszone di kawasan jambatan Kampung Sungai Bilis, Jalan Tanjung Labian.

Dalam operasi tersebut, enam lelaki berusia 19 hingga 56 tahun ditahan. Lima daripadanya adalah warganegara Filipina tanpa dokumen pengenalan sah, manakala seorang lagi adalah warga tempatan.

Polis turut merampas 2.33 gram dadah jenis syabu bernilai RM256.30 daripada tiga suspek. Sebuah kereta jenis Proton Saga dan dua buah motosikal turut diperiksa.

Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.

Sementara itu, dalam operasi kedua pada 5 Ogos 2025 sekitar jam 6.40 petang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu telah menjalankan Op Tapis di sebuah pondok tidak bernombor di kawasan Ladang SLDB Litang, Jalan Jeroco.

Tiga lelaki berusia 20 hingga 52 tahun ditahan dan pemeriksaan menemukan 50.46 gram syabu bernilai RM5,550.60, bersama peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti penagihan dadah. Polis turut menyita empat buah motosikal pelbagai jenis yang dipercayai berkaitan dengan kes tersebut.

Ketiga-tiga suspek turut disahkan positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Kesemua tangkapan kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah beberapa seksyen Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu, Seksyen 39B – kerana mengedar dadah, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan; Seksyen 12(2) – memiliki dadah berbahaya; dan Seksyen 15(1)(a) – memasukkan dadah ke dalam tubuh badan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail, menegaskan bahawa kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam membanteras jenayah dadah demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Exit mobile version