Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah komited tingkat kemahiran tenaga kerja tempatan dalam sektor air – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmennya untuk memperkasa tenaga kerja tempatan, khususnya dalam sektor air, selaras dengan agenda pembangunan mampan dan kemakmuran negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri HajijiNoor berkata, pelaburan dalam pembangunan modal insan merupakan asas utama dalam memperkukuh infrastruktur dan perkhidmatan asas di Sabah.

“Dengan membekalkan para profesional dengan pengetahuan dan kemahiran terkini, kita memperkasakan mereka untuk menerajui penerapan teknologi serta amalan baharu dalam sektor air,” katanya menerusi ucapan yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, semasa merasmikan Asiawater Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, sektor air dan kumbahan yang kukuh mampu memberi impak ekonomi yang signifikan, termasuk penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan tahap kesihatan awam serta produktiviti masyarakat.

“Pelaburan dalam infrastruktur air bukan sahaja merangsang pertumbuhan ekonomi, tetapi turut memastikan manfaat tersebut dinikmati secara menyeluruh oleh rakyat Sabah,” tambahnya.

Katanya lagi, penganjuran persidangan dan ekspo seperti Asiawater Sabah merupakan platform penting untuk mengupas isu-isu kritikal berkaitan bekalan air serta mengetengahkan penyelesaian inovatif bagi cabaran yang dihadapi.

“Saya berharap perbincangan sepanjang program ini akan membuka ruang kerjasama baharu dan memperkukuh perkongsian ilmu. Paling utama ialah usaha untuk meningkatkan mutu perkhidmatan air kepada rakyat,” tegas Hajiji.

Asiawater Sabah menghimpunkan pemain industri, penggubal dasar dan penyelidik untuk membincangkan masa depan pengurusan air secara mampan di rantau ini.

Exit mobile version