TONGOD: Kekerapan pertukaran kerajaan di Sabah dikenal pasti sebagai faktor utama yang membantutkan pembangunan negeri dan menyebabkan Sabah terus ketinggalan berbanding Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, perubahan tampuk pemerintahan secara berulang bukan sahaja mencetuskan ketidakstabilan politik, malah menggagalkan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang telah dirancang.
“Bayangkan perancangan lima tahun terbatal apabila kerajaan bertukar, Ketua Menteri bertukar, pengarah dan pegawai kerajaan pun ditukar. Bila ini berlaku, semua pelan pembangunan jadi sia-sia,” katanya ketika menyampaikan Majlis Amanat ADUN Kuamut 2025 di Dataran Terbuka Tongod, semalam.
Masiung menyeru rakyat Sabah agar mencontohi pendekatan rakyat Sarawak yang mengekalkan kestabilan politik sejak sekian lama, sekali gus membolehkan pembangunan dilaksanakan dengan konsisten.
“Sabah pernah lebih maju daripada Sarawak, tetapi kini kita jauh tertinggal kerana rakyat di sana tidak menukar kerajaan setiap kali pilihan raya. Mereka mengekalkan satu gabungan parti untuk mentadbir secara berterusan,” jelasnya.
Menurut beliau, sepanjang tempoh 60 tahun, Sabah telah menyaksikan 16 Ketua Menteri silih berganti, berbanding hanya enam di Sarawak. Di Sarawak, pertukaran ketua kerajaan hanya berlaku apabila penyandangnya tamat tempoh atau meninggal dunia, sedangkan gabungan politik kekal mentadbir.
Masiung turut membandingkan kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo, yang menunjukkan Sarawak telah berjaya menyiapkan keseluruhan projeknya, manakala Sabah masih ketinggalan jauh akibat perubahan polisi oleh tiga kerajaan berbeza sepanjang pelaksanaannya.
Beliau mengingatkan bahawa sikap rakyat yang gemar menukar kerajaan sebenarnya lebih merugikan rakyat sendiri berbanding pemimpin.
“Pemimpin dan wakil rakyat tetap bergaji. Tetapi yang rugi ialah rakyat Sabah sendiri kerana mudah terpengaruh dengan laporan media sosial yang tidak sahih dan berdaftar,” tegasnya.
Masiung menyeru agar rakyat Sabah memberi keutamaan kepada kestabilan politik demi menjamin masa depan pembangunan negeri yang lebih terancang dan mampan.

