Site icon TUHAU BAMBANGAN

Peguam nafi Zara dimasukkan dalam mesin basuh, netizen dinasihat jangan jadi penyebar spekulasi

KOTA KINABALU: Pasukan peguam kepada Noraidah Lamat, ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina, hari ini menafikan dakwaan liar di media sosial kononnya mangsa telah dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum ditemui meninggal dunia.

Dalam satu kenyataan tegas dan rasmi peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menyifatkan dakwaan yang dibuat oleh seorang wanita menerusi video tular itu sebagai spekulasi tanpa asas.

“Anak guam kami tidak pernah memberi kenyataan sedemikian kepada sesiapa. Jika benar dakwaan itu berpunca daripada maklumat yang sah, individu tersebut seharusnya menyalurkannya terus kepada polis, bukan berkongsi di media sosial,” tegas mereka.

Mereka turut menyangkal penularan gambar kronologi tidak rasmi yang mendakwa Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 sekitar jam 8 pagi pada 16 Julai 2025, dengan menjelaskan bahawa maklumat tersebut bukan datang daripada pihak keluarga.

Kenyataan itu turut menyentuh tindakan beberapa pihak yang menyebarkan gambar serta nama pelajar sekolah di pelbagai platform media sosial sambil membuat tohmahan dan ulasan negatif terhadap mereka.

Peguam menegaskan, tindakan tersebut adalah satu Kesalahan jenayah mengikut beberapa akta perundangan negara, termasuklah Seksyen 15, Akta Kanak-Kanak 2001; Seksyen 211 & 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; dan Seksyen 130, Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Penyebaran nama dan wajah pelajar yang terlibat, walaupun secara tidak langsung, adalah melanggar hak perlindungan mereka sebagai kanak-kanak dan pelajar. Ia menyalahi undang-undang dan harus dihentikan serta-merta,” ujar kenyataan tersebut lagi.

Pasukan peguam turut mengingatkan orang ramai bahawa penyebaran spekulasi dan maklumat tidak sahih hanya menambah tekanan kepada ibu mangsa yang masih dalam keadaan trauma dan berkabung.

“Kami mohon semua yang telah berkongsi gambar, video dan kenyataan tidak sahih untuk padamkan kandungan tersebut segera,” kata mereka.

Peguam turut menasihatkan agar mana-mana individu yang mempunyai maklumat sahih mengenai kes Zara agar tampil menyalurkan terus kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Jangan jadi penyebar spekulasi yang menyesatkan. Bantu siasatan dengan cara yang betul,” tegas mereka.

Exit mobile version