LAHAD DATU: Seorang lelaki yang juga berstatus penganggur dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana didapati bersalah dengan bertindak merogol anak kandung sendiri.
Keputusan itu dibuat Hakim Suhailla Selag ke atas tertuduh berusia 36 tahun selepas gagal menyatakan keraguan munasabah.
“Tertuduh sebagai ketua keluarga sepatutnya melindungi mangsa, hukuman ini dijatuhkan sebagai pengajaran kepada masyarakat,” kata Suhaila.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol mangsa pada 16 Oktober tahun lalu ketika mangsa berusia 13 tahun 7 bulan.
Tertuduh telah merogol mangsa dalam bilik mandi di rumah mereka di salah sebuah kampung di sini.
Oleh yang demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Mahkamah memutuskan hukuman penjara bermula dari tarikh hukuman.

