Site icon TUHAU BAMBANGAN

‘Plot Twist’ tular kematian Zara, indikasi berlaku kebocoran fail siasatan – Peguam

KOTA KINABALU: Peguam yang mewakili ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, hari ini mendakwa wujud kebocoran maklumat siasatan yang serius berhubung kes kematian remaja tersebut, sehingga mencetuskan penyebaran naratif palsu di media sosial kononnya kematian itu berpunca daripada tindakan ibunya sendiri.

Menerusi kenyataan media bersama, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri mewakili Noraidah Lamat berkata, penularan ‘plot twist’ di platform media sosial sejak minggu lalu yang mendakwa kematian Zara berpunca daripada tekanan akibat ibunya adalah indikasi kebocoran fail siasatan polis kepada umum.

“Kertas yang dikatakan sebagai diari milik Zara menjadi sumber kepada naratif jahat ini. Jika benar ia merupakan sebahagian daripada bahan siasatan, maka jelas telah berlaku kebocoran maklumat yang menjejaskan integriti siasatan,” ujar mereka.

Peguam berkenaan turut membangkitkan beberapa kelemahan siasatan awal, termasuk tiada bedah siasat dilakukan ke atas jenazah Zara sebelum dikebumikan; pakaian dan barangan peribadi Zara yang dipakai semasa kejadian tidak diambil polis untuk siasatan;

Seterusnya, keterangan ibu mangsa hanya diambil pada 3 dan 4 Ogos 2025, iaitu selepas laporan siasatan dihantar ke Jabatan Peguam Negara; dan siasatan didakwa terlalu terhad dan sempit skopnya sekali gus tidak memadai untuk menentukan punca sebenar kematian.

Berikutan itu, pasukan peguam telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Peguam Negara pagi tadi yang memohon agar kertas siasatan dikembalikan kepada polis dan siasatan dibuka semula, pegawai penyiasat dari Bukit Aman dilantik untuk ambil alih kes.

Seterusnya mereka mohon agar kubur Allahyarhamah Zara digali semula untuk membolehkan bedah siasat, dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian tersebut.

“Anak guam kami tidak menuntut kemenangan, dia hanya mahukan keadilan untuk anaknya,” tambah mereka.

Peguam juga mengesahkan bahawa pihak mereka akan menyerahkan semua pakaian dan barang milik Zara yang berada dalam simpanan kepada polis pada hari ini selepas dimaklumkan secara rasmi semalam.

Dalam kenyataan itu juga, mereka merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang telah menzahirkan solidariti melalui pelbagai bentuk kempen kesedaran, namun menyeru agar orang ramai mengelak membuat spekulasi liar yang boleh menimbulkan fitnah.

Exit mobile version