Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jangan terpedaya hasutan pembangkang, akar umbi PBS terus ‘stay focus’ – Joachim

PENAMPANG: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mengingatkan semua ahli parti, khususnya golongan belia dan beliawanis agar tidak mudah goyah dengan hasutan pembangkang yang cuba menggugat perpaduan dalam parti.

Berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-30 PBS Bahagian Moyog di Turongou Farmstay kelmarin, beliau menegaskan bahawa PBS kekal komited dalam menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Noor dan tidak pernah berpaling arah sebagaimana yang digembar-gemburkan pihak tertentu.

“Saya sendiri telah menghantar wakil ke acara Gagasan Rakyat baru-baru ini kerana pada hari yang sama saya terikat dengan lima mesyuarat agung bahagian PBS di Beaufort. Bagaimana boleh dikatakan PBS tidak menyokong Ketua Menteri, sedangkan ramai pemimpin kita turut hadir?” katanya.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai cubaan terancang untuk menimbulkan keraguan dan mencetuskan perpecahan dalam GRS, sekali gus menggugat kestabilan politik negeri.

Dr. Joachim turut mengingatkan bahawa kerajaan negeri hari ini adalah hasil kerjasama erat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus, dan sejarah menyaksikan bagaimana PH tampil menyokong Hajiji ketika ada cubaan menjatuhkan beliau dua tahun lalu.

“GRS tidak akan lupa jasa PH. Kita tahu siapa yang berdiri teguh bersama dalam waktu krisis. Jangan sesekali kita alpa atau terpedaya dengan naratif songsang pihak lawan yang hanya mahu melihat kita berpecah,” katanya lagi.

Beliau menyeru seluruh akar umbi PBS agar terus ‘stay focus’ dalam memperjuangkan prinsip dan hala tuju parti, sambil menegaskan bahawa PBS masih relevan dan terus menjadi antara tunjang kekuatan politik negeri.

Majlis turut menyaksikan penyerahan borang keahlian baharu kepada Dr. Joachim, sebagai lambang penerimaan berterusan masyarakat terhadap perjuangan PBS.

Exit mobile version