TAWAU: Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam satu kes pecah rumah membabitkan kehilangan pelbagai barangan termasuk tilam ‘queen’, tong gas dan kabinet TV baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek diberkas sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam satu serbuan kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin di kawasan tanah lapang Kampung Sri Menanti.
“Suspek disyaki memecah masuk rumah sewa milik seorang lelaki di Taman Meteor, Jalan Sin Onn pada 1 Ogos lalu. Mangsa hanya menyedari kejadian selepas pulang ke rumah dan mendapati pintu bilik telah dipecahkan dan bilik berselerak,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut ACP Jasmin, suspek bertindak melarikan beberapa barangan milik mangsa yang mempunyai nilai kerugian masih dalam anggaran siasatan.
Laporan polis dibuat mangsa pada hari kejadian di Balai Polis Tawau dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
“Semakan lanjut terhadap suspek mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan dadah, termasuk di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambah beliau.
Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan semula barangan yang dicuri serta mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam kes-kes pecah rumah lain di kawasan sekitar.
ACP Jasmin turut menyeru orang ramai agar terus bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi memastikan keselamatan komuniti terjamin.

