Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah mampu jadi negeri contoh, bangun ekosistem pekerjaan – Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa negeri ini berpotensi besar menjadi contoh kepada seluruh negara dalam membangunkan ekosistem pekerjaan yang inklusif, mampan dan menjunjung hak pekerja.

Berucap dalam Perhimpunan Hari Kesatuan Sekerja Negeri Sabah di ITCC, beliau menyatakan bahawa suara kesatuan sekerja perlu diberi perhatian serius bukan sahaja dalam soal gaji, malah turut melibatkan dasar ekonomi, pendidikan, teknologi dan alam pekerjaan masa hadapan.

“Kita mahu Sabah bukan sekadar membina ekonomi yang kukuh, tetapi juga sebuah negeri yang sentiasa menegakkan keadilan sosial dan memperjuangkan hak pekerja,” katanya di hadapan lebih 1,000 peserta dari seluruh Sabah.

Menurut beliau, komitmen kerajaan negeri diterjemah melalui agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya, yang antara lainnya menekankan kerjasama strategik dengan Kementerian Sumber Manusia bagi memperluas perlindungan kepada semua pekerja, termasuk sektor informal yang sering tersisih.

“Kita tidak mahu ada rakyat Sabah yang tercicir daripada arus pembangunan. Sama ada di pedalaman atau di bandar, semua perlu diberi peluang yang adil,” ujarnya lagi.

Hajiji turut mendedahkan data terkini tenaga buruh Sabah, melebihi 1.7 juta orang, dengan sumbangan besar mereka membantu negeri menjana KDNK sebanyak RM84.3 bilion tahun lalu.

Malah, Sabah kini mempunyai 92 kesatuan sekerja berdaftar dengan keahlian seramai 60,764 pekerja, merangkumi sektor kerajaan, swasta dan badan berkanun.

Beliau menyeru agar gerakan kesatuan lebih proaktif dalam era digital dan globalisasi, memperkukuh peranan sebagai pelindung hak pekerja dalam aspek gaji adil, keselamatan tempat kerja, peningkatan kemahiran dan jaminan sosial.

“Perhimpunan hari ini bukan sekadar simbolik. Ini permulaan kepada satu gerakan baharu yang lebih tersusun dan berpaksikan semangat Sabah Maju Jaya,” tegasnya.

Beliau juga menitip pesan kepada delegasi Sabah yang bakal menyertai Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan di Pulau Pinang September ini, agar membawa suara pekerja Sabah ke pentas nasional.

“Jadikan kehadiran kita di sana satu isyarat bahawa suara pekerja Sabah adalah suara yang wajar didengar,” katanya.

Exit mobile version