PENAMPANG: Kerajaan Persekutuan akan membangunkan Sistem Repositori Harga dan Bekalan sebagai salah satu inisiatif utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memastikan ketelusan harga dan kestabilan pasaran dalam menangani kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sistem itu akan menjadi platform data yang membolehkan kerajaan memantau harga dan bekalan barangan keperluan secara menyeluruh, serta membanteras sebarang bentuk pencatutan atau manipulasi harga di sepanjang rantaian bekalan.
“Isu kos sara hidup bukan hanya berkait dengan harga barangan yang naik, tetapi juga soal ketelusan dan kecekapan dalam keseluruhan sistem bekalan dan permintaan. Maka, sistem repositori ini penting untuk kita pastikan rakyat mendapat barangan pada harga yang munasabah dan adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Armizan menegaskan bahawa sistem tersebut akan memperkukuh penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Persaingan 2010, selain memberi ruang kepada pengguna, peniaga dan kerajaan mengakses maklumat harga secara telus.
Pembangunan sistem itu akan dilaksanakan melalui kerjasama rentas kementerian dan dengan sokongan industri, sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh Rantaian Bekalan Makanan, termasuk peningkatan infrastruktur pemasaran, pusat pengumpulan, pembungkusan, logistik dan perkhidmatan digital.
“RMK-13 yang bermula 2026 hingga 2030 adalah kesinambungan agenda Kerajaan MADANI untuk membina ekonomi yang mampan, menjaga kesejahteraan rakyat dan memastikan kelestarian bekalan makanan negara dalam landskap global yang penuh cabaran,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa selain aspek ‘kos’, agenda menangani kos sara hidup juga menyentuh soal ‘sara hidup’, iaitu keupayaan rakyat untuk menampung perbelanjaan melalui peningkatan pendapatan dan bantuan bersasar.
Pelan ini adalah antara teras utama di bawah RMK-13 bagi memastikan rakyat, khususnya golongan B40 dan luar bandar, tidak terus tertekan dengan kos sara hidup yang semakin mencabar.

