PITAS: Projek naik taraf kemudahan asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinggan-Pinggan, Pitas, Sabah kini telah mencapai 78.02 peratus kemajuan fizikal dan dijangka siap mengikut jadual pada Disember 2025.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek berimpak tinggi yang bernilai RM27 juta itu merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan MADANI untuk memperkasa ekosistem pendidikan luar bandar dengan kemudahan pembelajaran dan penginapan yang lebih selamat dan kondusif.
Beliau berkata demikian semasa lawatan pemantauan ke tapak projek pembinaan dua blok asrama baharu lelaki dan perempuan, empat unit rumah warden, dewan makan berkapasiti 400 pelajar, serta kemudahan sokongan seperti rumah pam, telaga tiub dan tangki air, pada Sabtu.
“Projek ini sangat penting kerana asrama sedia ada telah dibina sejak tahun 1989 dan terletak 1.3 kilometer dari sekolah. Ramai pelajar terpaksa berjalan kaki seawal jam 6 pagi di laluan utama yang sibuk tanpa kemudahan pejalan kaki, yang boleh membahayakan keselamatan mereka,” katanya.
Projek tersebut dilaksanakan secara reka dan bina oleh JT Cemerlang Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama, manakala Pasukan Projek Khas 2 (PPK2), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bertindak sebagai agensi pelaksana.
Kerja-kerja pembinaan bermula pada 23 Disember 2022 dan dijadualkan siap pada 18 Disember 2025.
Pembinaan menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi menjamin kecekapan dari segi masa, kos dan kualiti.
Ahmad menegaskan bahawa projek ini mencerminkan iltizam kerajaan dalam mengurangkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar serta menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang cemerlang.
Kementerian Kerja Raya turut menyeru semua pihak yang terlibat agar terus bekerjasama secara bersepadu untuk memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual demi kesejahteraan pelajar dan pembangunan masa depan pendidikan negara.

