Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kes kematian Zara: “Siapa pun yang terlibat, tidak kira VIP, tidak akan diberi perlindungan” – Anwar

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana individu, termasuk tokoh berprofil tinggi, sekiranya terbukti terlibat dalam sebarang unsur jenayah berkaitan kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC) hari ini, Anwar menyentuh isu kematian tragis pelajar tersebut, yang telah mencetuskan perhatian dan kebimbangan rakyat.

“Kematian ini bukan soal ringan. Anak petani miskin di Kundasang kalau mati, itu tanggungjawab kita bersama untuk cari kebenaran, bukan untuk terus menuduh sesiapa,” katanya.

Menurut beliau, siasatan kes dijalankan secara telus dan profesional oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri.

“Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri. Saya arahkan, buat siasatan secepat mungkin dan cari segala fakta. Mereka maklumkan, 60 orang telah diambil keterangan,” jelas beliau.

Anwar dalam nada tegas menolak sebarang cubaan mempolitikkan isu atau membuat tuduhan liar terhadap anak-anak pemimpin negara tanpa bukti.

“Negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa pun terlibat, tidak kira Tan Sri, Datuk Seri, Menteri, kalau terbukti terlibat dalam jenayah atau pembunuhan, tidak akan diberi perlindungan. Tapi jangan kita sewenangnya memfitnah anak Menteri, Timbalan Perdana Menteri atau Timbalan Ketua Menteri,” ujarnya.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa laporan siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak campur tangan. Saya hanya tanya kepada Peguam Negara kerana rakyat mahu tahu. Dia kata, ya, laporan lengkap diterima Isnin lalu,” tambahnya.

Exit mobile version