KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya terbabas lalu terjatuh ke dalam parit sedalam 15 kaki di hadapan sebuah hotel di Jalan Pintasan Penampang, awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 2.50 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu telah dikerahkan ke lokasi.
“Jentera tiba lima minit kemudian dan mendapati seorang mangsa lelaki terjatuh ke dalam parit. Pasukan penyelamat bertindak mengangkat mangsa menggunakan junkin stretcher,” kata Komander Operasi, PBK II Norejan Jamlin dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.19 pagi.
Operasi melibatkan sembilan anggota bomba dengan kekuatan dua jentera iaitu FRT dan EMRS.
Kes kini disiasat oleh pihak polis untuk tindakan lanjut.

