Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sektor pertanian sumbang lebih RM12 bilion kepada KDNK Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menjadikan sektor pertanian sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah yang mampan dan berdaya tahan.

Menurut beliau, sektor pertanian bukan sahaja penyumbang ketiga terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri dengan sumbangan mencecah RM12.2 bilion atau 14.5 peratus, malah ia memainkan peranan penting dalam menjamin keterjaminan makanan negara.

“Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada usaha memperkasa sektor pertanian melalui pendekatan yang lebih strategik dan inklusif,” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini pada Ahad.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta barisan kepimpinan negeri dan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata Sabah mengambil langkah berani termasuk menubuhkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah yang sebelum ini ditutup pada 1981.

Penubuhan semula lembaga itu bertujuan meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030.

Beliau turut menekankan kepentingan adaptasi teknologi moden seperti pertanian pintar dan Internet of Things (IoT) dalam merangsang produktiviti serta menarik minat generasi muda menyertai sektor ini.

Setakat ini, Sabah mempunyai 15 Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang berjaya menghasilkan lebih 1,494 metrik tan hasil makanan dengan nilai pulangan melebihi RM4.32 juta.

Dalam sektor ekonomi biru, Hajiji mengumumkan pembangunan pelabuhan pendaratan ikan tuna bertaraf EU di Kota Kinabalu dengan pelaburan mencecah RM360 juta. Pelabuhan ini dijangka mampu mendaratkan 50,000 tan tuna setahun dan menjana nilai ekonomi sehingga RM1.8 bilion setahun.

Beliau menyeru komuniti peladang, penternak dan nelayan agar bersedia berinovasi dan menerima perubahan ke arah menjadikan sektor pertanian Sabah lebih progresif, berdaya saing dan menjadi tunjang kepada keterjaminan makanan negara.

Exit mobile version