KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, iaitu Noraidah Lamat, hari ini tampil membuat laporan polis baharu di Balai Polis Sipitang selepas mendakwa menemui kesan-kesan lebam di bahagian belakang anaknya ketika memandikan jenazah di Hospital Queen Elizabeth I (HQE 1) pada 17 Julai lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh firma guaman Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, anak guam mereka mendapati lebam-lebam itu ketika dia sendiri memandikan jenazah Zara bersama beberapa wanita lain.
Bagaimanapun, fakta penting itu tidak dinyatakan dalam laporan polis sebelum ini kerana beliau terlupa akibat terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya.
“Beliau hanya teringat semula tentang kesan-kesan lebam ini apabila kami menyoal beliau kelmarin tengahari mengenai keadaan tubuh anaknya semasa dimandikan,” kata kenyataan itu.
Pihak peguam percaya bahawa lebam tersebut berpunca daripada kecederaan akibat pukulan objek tumpul sebelum Zara ditemui di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai.
Kenyataan itu turut merujuk kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa siasatan polis telah selesai dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara.
Namun, peguam mendesak agar siasatan dibuka semula memandangkan terdapat maklumat terbaharu yang belum dimasukkan sebelum ini.
Peguam turut menegaskan keperluan untuk menggali semula kubur Zara bagi tujuan bedah siasat demi menentukan punca sebenar kematian dan sama ada terdapat unsur jenayah.
Pada 30 Julai lalu, ibu mangsa turut membuat laporan polis berkaitan rakaman perbualan terakhir dengan Zara, yang memaklumkan dia menjadi mangsa gangguan dan buli oleh pelajar senior.
Malah, menurut Zara dalam rakaman itu, terdapat pelajar yang mengugut: “Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”

