Site icon TUHAU BAMBANGAN

Azmin bakal jadi TPM, kata sumber BERSATU dan UMNO

Anggota parlimen Gombak Azmin Ali akan dilantik sebagai timbalan perdana menteri (TPM), kata sumber-sumber Bersatu dan Umno.

Sumber Bersatu yang rapat dengan Azmin memberitahu Malaysiakini bahawa, besar kemungkinan bekas menteri kanan itu akan dilantik ke jawatan nombor dua bagi membantu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, tiga sumber Umno – seorang anggota Majlis Tertinggi dan dua anggota parlimen – turut memberitahu perkara sama.

Dua daripada sumber itu, yang berbeza kem, memberitahu langkah itu diambil bagi mengekalkan sokongan majoriti terhadap kerajaan.

Sumber-sumber mendakwa Azmin mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail bersama penyokongnya jika tidak diberikan jawatan itu.

Ismail yang mengangkat sumpah Sabtu lalu hanya memperoleh sokongan 114 daripada 220 anggota Dewan Rakyat.

Kem Azmin mempunyai kekuatan sekurang-kurangnya 10 anggota parlimen – jumlah yang cukup untuk menggoncang kedudukan Ismail.

Namun, seorang anggota parlimen daripada kem Azmin menafikan bahawa terdapat ugutan untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan.

Karut, kata Razali Idris

Sementara itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Razali Idris menafikan keputusan memilih timbalan perdana menteri sudah dibuat.

“Tak putuskan (lagi). Mana ada yang keluar embargo semua, itu karut.

“Perdana menteri dah khabar dah kelmarin, insya-Allah minggu ini,” katanya.

Selain Azmin, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin dan anggota MPT Redzuan Mohd Yusof tuirut disebut-sebut sebagai calon TPM.

Gabungan Parti Sarawak juga melobi untuk diperkenalkan jawatan TPM II untuk diisi oleh wakil rakyat mereka. – MK

Exit mobile version