KOTA KINABALU: Ibu kepada arwah Zara Qairina Mahathir, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, menyatakan hasrat agar kubur anaknya digali semula bagi membolehkan siasatan kehakiman dijalankan, termasuk pelaksanaan bedah siasat yang tidak dilakukan sebelum pengebumian.
Permintaan itu dibuat berikutan keraguan terhadap dakwaan awal bahawa Zara terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama yang menjadi punca kematian seperti dimaklumkan pihak sekolah.
Menurut ibunya, Noraidah, tiada kecederaan fizikal ketara ditemui pada wajah anaknya sewaktu dilihat kali terakhir.
Malah katanya wujud dakwaan bahawa pihak sekolah meminta agar laporan polis tidak dibuat, mencetuskan tanda tanya terhadap ketelusan dalam menangani insiden tersebut.
“Sebagai ibu, saya mahu tahu kebenaran sebenar. Jika benar anak saya terjatuh, mengapa tidak ada kecederaan yang konsisten dengan dakwaan itu? Kenapa laporan polis disarankan untuk tidak dibuat?” soal Noraidah.
Berikutan itu, peguam keluarga telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Peguam Negara bagi memohon kebenaran melaksanakan inkues dan menggali semula kubur mendiang Zara.
Langkah ini dilihat penting bagi membolehkan bedah siasat dilakukan oleh pihak forensik bebas.
Zara dilaporkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang di kawasan asrama sekolah.
Turut dilaporkan, tiada autopsi dijalankan sebelum pengebumian, menyebabkan keluarga kini menuntut keadilan melalui proses kehakiman yang sah.
Siasatan polis terhadap kes ini masih berjalan, dengan lebih 60 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan.
Orang ramai pula diminta tidak membuat spekulasi melulu sementara proses siasatan dan undang-undang dijalankan.

