Site icon TUHAU BAMBANGAN

Setiausaha Politik Armizan buat laporan Polis terhadap fitnah kaitkan kematian adik Zara

KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Ghazali Hajiji, tampil membuat laporan polis terhadap satu hantaran berunsur fitnah di media sosial yang dikatakan mengaitkan Datuk Armizan Mohd Ali secara tidak bertanggungjawab dalam kes kematian tragik seorang pelajar di Sekolah Menengah Agama (SMA) Tun Datu Mustapha.

Dalam kenyataan tegas yang dikeluarkan hari ini, Ghazali menegaskan bahawa media sosial bukan medan untuk menyebarkan dakyah palsu atau mencetuskan persepsi jahat, lebih-lebih lagi dalam situasi yang melibatkan kesedihan keluarga mangsa.

“Saya telah membuat laporan polis terhadap satu akaun TikTok bernama @saka\_merah7 yang menyebarkan fitnah dan tuduhan berniat jahat terhadap YB Menteri,” kata beliau.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil agar nama baik Armizan dan keluarga mangsa tidak terus menjadi mangsa eksploitasi politik murahan.

Ghazali turut mengingatkan bahawa politik Sabah semakin matang dan tidak seharusnya direndahkan dengan perbuatan tidak beretika seperti menyebarkan tuduhan tanpa asas.

“Dalam keadaan sebegini, hormatilah perasaan keluarga yang sedang berduka. Ini bukan masa untuk ‘menangguk di air keruh’,” tambahnya.

Laporan polis itu dibuat agar pihak berkuasa, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap penyebar fitnah terbabit.

Ghazali mengakhiri kenyataan dengan menyeru semua pihak agar menggunakan media sosial secara bertanggungjawab.

“Cukup-cukuplah. Kita lebih baik daripada ini,” tegasnya.

Kes kematian pelajar di SMA Tun Datu Mustapha kini sedang dalam siasatan polis dan menjadi perhatian awam, namun Ghazali menegaskan bahawa sebarang cubaan untuk mengaitkan pihak tidak terlibat tanpa bukti adalah satu tindakan keji yang tidak boleh dibiarkan.

Exit mobile version