KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, menggesa supaya kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap pencapaian Dasar 60:40 peratus, khususnya dalam meningkatkan penglibatan pelajar aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di seluruh negara.
Beliau membangkitkan perkara itu dalam pertanyaan lisan di Dewan Rakyat pada Rabu lalu, dengan meminta perincian mengenai pemantauan tahunan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta prestasi pencapaian mengikut negeri sejak pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Dalam jawapan bertulis, KPM memaklumkan bahawa kadar enrolmen pelajar aliran STEM telah meningkat daripada 40.95 peratus pada tahun 2021 kepada 50.83 peratus setakat Oktober 2024.
Menurut kementerian, peningkatan itu adalah hasil pelaksanaan beberapa inisiatif utama termasuk penubuhan Task Force Pendidikan STEM, peluasan latihan guru berbentuk Inquiry-Based Education, serta penambahbaikan infrastruktur makmal.
“Antara usaha lain termasuk pelaksanaan program STEM for All yang menghubungkan sekolah dengan industri, serta arahan agar setiap sekolah menengah menawarkan sekurang-kurangnya satu kelas pakej STEM A mulai tahun ini,” menurut KPM.
Setakat Mac 2025, sebanyak 98.86 peratus pelajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dilaporkan memilih aliran STEM, manakala hanya 1.14 peratus mengambil aliran Sains Sosial.
Task Force STEM juga diperluas ke peringkat negeri dan daerah bagi memantau pelaksanaan dengan lebih dekat.
Bagaimanapun, Madius dalam kenyataannya hari ini berkata, peningkatan peratusan sahaja tidak mencukupi sekiranya pelaksanaan tidak memberi impak kepada kualiti pendidikan, kebolehcapaian di sekolah luar bandar, dan keseimbangan minat pelajar.
“Kita tidak mahu dasar ini sekadar angka atas kertas. Perlu ada pemantauan berkala dan strategi intervensi di peringkat negeri dan daerah. Apa gunanya pelajar ‘dipaksa’ ambil STEM tetapi akhirnya hilang minat atau tercicir?” tegas beliau.
Tambahnya, Malaysia tidak boleh berkompromi dalam hal pembangunan tenaga kerja mahir, dan pendidikan STEM adalah kunci masa depan negara yang berdaya saing. Maka itu, katanya, penilaian menyeluruh dan tindakan susulan adalah wajib, bukan pilihan.
“Dasar ini mesti menyentuh realiti semua pelajar bandar dan luar bandar, SBP dan sekolah harian biasa. Jika tidak, kita hanya bina kejayaan di atas kertas, bukan di bilik darjah,” ujar Madius.

