KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama adalah asas utama kepada kekuatan dan kemakmuran negeri ini yang berterusan.
Beliau berkata, keharmonian yang dinikmati hari ini adalah warisan paling berharga dan harus terus dipelihara demi masa depan generasi akan datang.
“Perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan sebenar Sabah. Ia bukan kelemahan, sebaliknya satu keunikan yang harus kita banggakan dan pelihara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini, pada Jumaat.
Hajiji turut menyeru rakyat agar menjadikan semua ruang kehidupan termasuk sekolah, tempat kerja, premis perniagaan, rumah ibadat dan platform digital sebagai medan memperkukuhkan persefahaman dan bukannya menyemai perpecahan.
Mengulas pencapaian pembangunan negeri, beliau memaklumkan bahawa Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 mencatatkan kejayaan memberangsangkan dengan kadar pelaksanaan mencecah 94 peratus daripada 467 inisiatif setakat Mei 2025.
Antara sektor utama yang terus diberi keutamaan ialah pertanian, perindustrian dan pelancongan, di samping usaha memperkukuh modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar.
“Bantuan untuk rakyat turut disalurkan termasuk dalam bentuk akses pendidikan serta Skim Insurans Perlindungan Rakyat Sabah yang memberi manfaat menyeluruh kepada semua golongan,” katanya.
Beliau juga mengajak rakyat Sabah mengibarkan Jalur Gemilang sebagai simbol kesetiaan dan semangat patriotik dalam menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang disambut sepanjang bulan Ogos.
“Pelancaran ini bukan sekadar acara simbolik tetapi satu seruan untuk kita menghayati makna sebenar kemerdekaan bukan hanya bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada kemiskinan dan perpecahan,” tegasnya.
Majlis turut diserikan dengan acara penyerahan bendera kepada wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan, persatuan, dan pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025.

