Site icon TUHAU BAMBANGAN

Istana Seri Kinabalu nafi penglibatan keluarga TYT dalam Kes kematian Zara Qairina

KOTA KINABALU: Istana Seri Kinabalu menafikan dakwaan yang mengaitkan ahli keluarga Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah dengan kes kematian pelajar sekolah menengah, Allahyarhamah Zara Qairina.

Dalam satu kenyataan rasmi, pihak Istana menyifatkan tuduhan tersebut sebagai palsu, berniat jahat dan sengaja disebarkan untuk mencemarkan nama baik institusi Yang di-Pertua Negeri.

“Istana Seri Kinabalu menegaskan bahawa tiada seorang pun ahli keluarga TYT terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam kejadian malang yang menimpa mendiang pelajar berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Pihak Istana turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi atau maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan pihak berkuasa serta menambah derita kepada keluarga mangsa.

“Istana memandang serius penyebaran berita palsu di media sosial yang cuba mengaitkan keluarga TYT dengan insiden tersebut.

“Pihak yang terlibat menyebarkan fitnah ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut peruntukan sedia ada,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak Istana memberikan jaminan penuh bahawa mereka menghormati proses siasatan dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan tugas tanpa sebarang campur tangan.

Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama pada 16 Julai lalu, sekitar jam 3 pagi.

Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu namun disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya, 17 Julai, jam 11 pagi.

Exit mobile version