Site icon TUHAU BAMBANGAN

PBS nafi umum calon PRN, tegaskan sokongan bersama GRS – PH

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan bahawa parti itu belum mengumumkan atau menyokong mana-mana individu sebagai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, setakat ini.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dalam kenyataan medianya hari ini menafikan dakwaan kononnya PBS telah menamakan calon tertentu, sambil menyifatkan sebarang kenyataan seperti itu sebagai tidak sah dan tidak mewakili pendirian rasmi parti.

“Proses mengenal pasti dan memuktamadkan calon masih berjalan dan akan diputuskan secara kolektif oleh pimpinan tertinggi PBS. Sebarang pengumuman rasmi hanya akan dibuat melalui saluran yang betul dan mestilah dipetik terus daripada Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam,” tegas beliau.

PBS turut menyeru semua bahagian dan cawangan agar terus fokus kepada persiapan jentera parti di peringkat akar umbi menjelang PRN, selain meminta pihak media dan orang ramai agar sentiasa merujuk kepada sumber rasmi parti bagi mengelak kekeliruan dan penyebaran maklumat tidak tepat.

Dalam kenyataan sama, Datuk Julita turut menyatakan persetujuan PBS terhadap kenyataan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor bahawa GRS akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN akan datang.

“Kerjasama ini dibuat atas dasar bahawa GRS akan menjadi rakan dominan, sebagaimana yang telah dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat antara pengerusi GRS dan presiden parti komponen, termasuk pemangku presiden kami,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ketidakhadiran Pemangku Presiden PBS, Dr Joachim Gunsalam, pada pembukaan Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) baru-baru ini adalah kerana beliau berada di Beaufort bagi merasmikan pembukaan serentak lima mesyuarat agung tahunan bahagian PBS.

“PBS tetap diwakili oleh barisan kepimpinan kanan parti termasuk Timbalan-Timbalan Presiden Datuk Seri Panglima Jahid Jahim dan Datuk Seri Dr Yee Moh Chai serta saya sendiri,” tambahnya.

PBS menegaskan bahawa sebarang langkah atau kenyataan berkaitan parti mesti berdasarkan keputusan bersama dan dihormati semua pihak agar kekuatan gabungan GRS kekal utuh menjelang PRN.

Exit mobile version