KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan sistem pendidikan negeri dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1.33 bilion bagi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif pendidikan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata bahawa peruntukan besar itu membuktikan tekad kerajaan untuk memastikan setiap anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa tercicir, sekaligus melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
“Kecemerlangan akademik bukan hanya kejayaan individu tetapi aset penting negara. Kerajaan Negeri komited memastikan tiada anak Sabah tercicir daripada akses pendidikan berkualiti,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd. Arifin Datuk Mohd. Arif semasa Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik (MEKAR) Kali Ke-13 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Selasa.
Daripada jumlah tersebut, RM848.26 juta telah dibelanjakan untuk pelbagai bentuk bantuan pendidikan, manakala RM485 juta diperuntukkan bagi pembangunan modal insan. Selain itu, sebanyak 14 inisiatif baharu bernilai RM164.14 juta telah diperkenalkan dan memberi manfaat kepada kira-kira 210,918 pelajar di seluruh Sabah dalam tempoh empat tahun itu.
Hajiji turut mengumumkan pemberian insentif tunai RM1,000 kepada 146 pelajar cemerlang STPM 2024, manakala seorang pelajar Sabah yang mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan turut menerima ganjaran khas sebanyak RM3,000 sebagai penghargaan.
Dalam usaha menyelaras dan memperkasakan latihan kemahiran teknikal, kerajaan juga menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Sabah pada 19 Mei lalu untuk menyelaras lebih 160 institusi latihan teknikal dan vokasional di seluruh negeri, selaras keperluan pasaran kerja semasa dan masa hadapan.
Hajiji menegaskan pentingnya kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan mutu sistem pendidikan dan infrastruktur sekolah di Sabah.
“Pendidikan kekal sebagai pasport utama masa depan anak-anak Sabah. Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk berbincang dan bekerjasama demi memperkukuh pembangunan modal insan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru seluruh warga pendidikan agar terus komited, bersatu dan menjadi teladan dalam membentuk ekosistem pendidikan yang cemerlang demi masa depan negeri Sabah yang lebih gemilang.

