TAWAU: Seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun ditahan polis selepas didapati membawa dadah jenis syabu bernilai lebih RM70,000 dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan pasar, Jalan Pelabuhan, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, penahanan dilakukan oleh sepasukan anggota Task Force IPD Tawau hasil maklumat awam dan risikan polis, yang mendapati suspek berada dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas beg galas yang dibawa suspek menemukan dua paket plastik berwarna kuning keemasan, masing-masing mengandungi bungkusan lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 2,062 gram,” katanya dalam sidang media pada pagi Selasa.
Polis menganggarkan nilai keseluruhan rampasan dadah tersebut sebanyak RM74,500.00.
Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, namun ujian saringan air kencing menunjukkan dia negatif dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Menurut ACP Jasmin, pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah di Tawau secara tegas dan berterusan.
“Sehingga Julai 2025, IPD Tawau telah berjaya merampas lebih daripada 30 kilogram syabu, menunjukkan komitmen berterusan kami dalam membanteras sindiket dadah di daerah ini,” tambahnya.

