TUARAN Kehadiran lebih 100 pelayar dan 29 kapal layar dari 16 negara sempena Dalit Bay Nautica 2025 membuktikan bahawa Sabah kini semakin dikenali dan dihargai di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelayaran baharu, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalam ucapan perasmian majlis yang disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, Hajiji menyatakan keyakinannya bahawa pelancongan nautika bakal menjadi salah satu tarikan utama pelancongan Sabah dalam masa terdekat.
“Sabah menawarkan pelbagai pengalaman berlayar yang unik dengan pantai yang bersih dan memukau. Potensi besar ini perlu dimanfaatkan memandangkan lokasi negeri kita yang strategik, memiliki laluan air yang menarik serta berhadapan Laut China Selatan,” katanya baru-baru ini.
Menurut beliau, aktiviti pelayaran bukan sahaja mampu menarik lebih ramai pengunjung dari luar negara, malah akan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk tempatan, terutama di kawasan pesisir pantai.
Ketua Menteri turut menyifatkan Dalit Bay sebagai lokasi yang sangat berpotensi menjadi destinasi pelancongan bertaraf dunia berkat gabungan keindahan pantainya, kepelbagaian budaya dan kedudukan geografinya yang strategik.
“Acara seperti Dalit Bay Nautica ini bukan sahaja membantu mempromosikan pelancongan, malah turut memperkenalkan warisan budaya Sabah ke persada antarabangsa serta merangsang aktiviti ekonomi tempatan,” tambahnya.
Hajiji turut menegaskan bahawa usaha berterusan untuk mempelbagaikan sektor pelancongan akan menyokong sasaran kerajaan negeri untuk mencapai 3.5 juta pelancong ke Sabah tahun ini.
Sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia, Sabah mempunyai kelebihan luar biasa dari segi keindahan semula jadi termasuk laut yang jernih, pulau-pulau eksotik, gunung-ganang serta hutan simpan yang kaya dengan flora dan fauna menjadikannya antara destinasi pelancongan terkemuka dunia, katanya lagi.

