Site icon TUHAU BAMBANGAN

Operasi Dewan Masyarakat & Pusat Lestari KK dihentikan serta merta susulan kejadian kebakaran

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumumkan penghentian serta-merta operasi Dewan Masyarakat Kota Kinabalu dan Pusat Lestari Kota Kinabalu susulan kejadian kebakaran yang berlaku awal pagi Selasa.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan DBKK, kebakaran yang berlaku sekitar jam 1.00 pagi, pada 29 Julai telah menyebabkan kerosakan ketara pada struktur dan harta benda dewan berkenaan. Sehubungan itu, semua tempahan dan penggunaan dewan dihentikan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

DBKK kini sedang menjalankan penilaian kerosakan dan merancang kerja-kerja pemulihan terhadap bangunan terlibat.

“Orang awam yang telah membuat tempahan boleh menuntut pengembalian bayaran mengikut tiga saluran termasuk, secara manual (kaunter DBKK): Hadir ke Unit Tempahan Dewan, Jabatan Pengurusan Harta (JPH), DBKK di Tingkat 7, Bangunan Centre Point Sabah dan berjumpa dengan Puan Liveti Pouyin @ Lydia; tempahan melalui GoNet: Bayaran akan dipulangkan secara automatik ke dalam akaun GoNet penempah; dan tempahan kaunter acara DBKK: Pengembalian bayaran akan dilakukan melalui surat rasmi daripada DBKK.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada JPH DBKK di talian 088-244000 samb. 621 atau 012-2143740 (Cik Shafirah), pada waktu pejabat (Isnin–Jumaat, 8.00 pagi–5.00 petang),” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, operasi Pusat Lestari Kota Kinabalu yang terletak di pekarangan dewan tersebut turut dihentikan buat sementara dan akan dipindahkan ke Dewan Serbaguna Damai mulai pertengahan Ogos 2025.

Untuk maklumat berkaitan Pusat Lestari, orang ramai boleh menghubungi urus setia Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal DBKK di talian 017-8272217.

DBKK turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan memberi jaminan bahawa sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi mereka.

Exit mobile version