KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat), Datuk Fairuz Renddan, menggesa seluruh jentera Pemuda untuk mengekalkan semangat dan tekad tinggi dalam merancakkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka bakal berlangsung pada bila-bila masa.
Berucap dalam Persidangan Pemuda Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu lalu, Fairuz menekankan bahawa peranan anak muda amat penting dalam menentukan hala tuju negeri kerana hampir 60 peratus pengundi Sabah terdiri daripada golongan muda.
“Angka ini tidak boleh dipandang remeh. 60 peratus anak muda ini adalah kuasa sebenar yang akan menentukan masa depan Sabah melalui undi mereka,” katanya.
Fairuz, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, memaklumkan bahawa 90 peratus jentera Pemuda Gagasan Rakyat di 73 bahagian seluruh Sabah telah siap sedia, dan kini hanya menunggu isyarat rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tambah beliau, tumpuan utama Pemuda adalah untuk bekerja keras mempertahankan kerajaan sedia ada di bawah pimpinan Presiden parti merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya mahu Pemuda fokus kepada misi kemenangan, bukan mempersoalkan siapa calon. Peranan kita sebagai tulang belakang parti ialah untuk menyumbang tenaga dan bakti demi kestabilan dan kemajuan negeri yang kita cintai ini,” ujarnya.
Menurut Fairuz, keahlian Pemuda Gagasan Rakyat kini telah mencecah 90,000 orang di seluruh negeri, menjadikan ia sebagai antara kekuatan utama dalam kempen PRN akan datang.
“Jentera ini akan menjadi nadi utama dalam PRN17 nanti. Kita tunggu dan bersiap siaga untuk arahan seterusnya,” tegasnya.

