KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor, mendedahkan bahawa wujud sikap prejudis terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika era pemerintahan sebelumnya, khususnya terhadap konsep “blok Borneo” merangkumi Sabah dan Sarawak.
Kenyataan tersebut dibuat ketika sesi penggulungan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Ahad lalu.
Hajiji ketika berkongsi pengalaman, Hajiji berkata keputusan mengalihkan sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan itu selepas beliau bersama Datuk Seri Masidi Manjun dan Datuk Seri Jeffrey Kitingan bertemu dengan seorang tokoh politik tertinggi pusat yang tidak dinamakan.
Menurut beliau, individu itu menyifatkan diri mereka sebagai “master” dan secara terang-terangan menyatakan bahawa mereka tidak menyukai blok Borneo serta enggan membenarkan perkongsian pengalaman antara Sabah dan Sarawak.
“Saya amat terkejut apabila beliau berkata mereka ialah ‘master’. Dia tidak suka dengan blok Borneo dan tidak mahu kita berkongsi cerita atau pengalaman dengan negeri jiran kita, Sarawak,” ujar Hajiji, sambil menambah bahawa kenyataan itu menjejaskan semangatnya untuk terus bekerjasama dan menimbulkan rasa tawar hati terhadap pihak terbabit.
Kejadian itu menjadi faktor utama beliau memimpin GRS menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hajiji menegaskan bahawa di bawah pentadbiran tersebut, Sabah kini mendapat layanan lebih adil, termasuk pengiktirafan tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta penambahbaikan hak negeri meliputi semangat Blok Borneo.
Beliau turut menyoroti bahawa sokongan tersebut lahir dari keinginan untuk memperjuangkan kepentingan Sabah secara berdaulat daripada campur tangan pihak luar yang tidak memahami konteks dan aspirasi Blok Borneo.
“Jika kerajaan perpaduan membawa manfaat untuk Sabah, kenapa perlu kita tolak?” tambah beliau dalam ucapannya.

