Site icon TUHAU BAMBANGAN

3 penjawat awam antara 5 lelaki ditahan bersama dadah, air ketum, ubat batuk & senjata berbahaya

LAHAD DATU: Lima lelaki termasuk tiga penjawat awam ditahan dalam satu operasi khas Op Tapis oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu di sebuah rumah di Taman Harapan, Jalan Silam pada 28 Julai lalu.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas pelbagai bahan terlarang dan senjata berbahaya termasuk dadah jenis syabu seberat 0.41 gram, 224 liter air ketum serta 8.20 liter ubat batuk.

Turut ditemui, sebilah pedang samurai dan enam bilah parang, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM11,655.40.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis Meth/Amp, manakala empat yang lain negatif. Semua suspek berusia antara 24 hingga 38 tahun dan kini direman bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958.

Tambah ACP Dzulbaharin, penahanan ini membuktikan komitmen berterusan IPD Lahad Datu dalam memerangi jenayah narkotik dan melindungi keselamatan awam di daerah ini.

Exit mobile version