KOTA KINABALU: Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan, menegaskan bahawa didikan akhlak yang baik perlu bermula dari rumah dalam mengulas insiden kematian seorang pelajar tingkatan satu yang didakwa akibat perbuatan buli di Papar baru-baru ini.
Beliau menyifatkan kejadian tersebut sebagai amat mengecewakan dan tidak mencerminkan budaya masyarakat Sabah yang terkenal dengan sifat lemah lembut dan berbudi bahasa.
“Buli ini keji dan menghina nilai murni masyarakat kita. Ia merosakkan bukan sahaja fizikal mangsa, tetapi juga pembangunan karakter dan masa depan anak muda,” katanya pada Ahad lalu.
Menurut Abqaree, gejala buli merupakan penghalang utama dalam membentuk generasi berakhlak dan berdaya saing.
Beliau menegaskan bahawa tindakan menyakiti orang lain bukanlah jalan penyelesaian, dan menasihatkan agar pelajar yang berdepan tekanan emosi mencari saluran yang betul seperti kaunselor, guru atau pihak berkuasa.
“Kalau ada masalah, ada saluran, bukan dengan membuli. Buli ini tidak memberi faedah, malah meruntuhkan institusi belia,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa punca sebenar perlakuan buli sering bermula daripada rumah, terutama apabila anak-anak tidak mendapat kasih sayang dan perhatian sewajarnya daripada keluarga.
“Masalah buli berpunca daripada jiwa yang kacau. Bila di rumah tidak ada kasih sayang, anak akan lepaskan kemarahan itu kepada orang lain. Sebab itu ibu bapa perlu beri perhatian, pupuk nilai hormat, dan dampingi anak-anak,” katanya.
Abqaree turut menyeru agar pendekatan menyeluruh dilaksanakan melibatkan keluarga, sekolah, dan pihak berkuasa bagi membanteras budaya buli dan melahirkan masyarakat yang sejahtera serta berakhlak tinggi.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya segala bentuk buli, termasuk buli fizikal, emosi dan siber. Kita semua bertanggungjawab membina masa depan generasi muda Sabah dalam suasana yang selamat dan bermaruah,” tambahnya.

