KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangak boleh berlaku pada bila-bila masa selepas Persidangan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dijadual berlangsung hujung minggu ini, kata Ketua Menteri merangkap Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, perhimpunan selama tiga hari itu bukan sahaja memenuhi keperluan perlembagaan parti, tetapi juga menjadi platform penting menjelang PRN yang semakin hampir.
“Ini keperluan dalam perlembagaan parti dan kebetulan mesyuarat ini dianggap penting kerana kita akan menghadapi pilihan raya bila-bila masa saja selepas perhimpunan tersebut. Jadi kita tunggulah,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Isnin.
Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut mengesahkan bahawa GRS telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri, namun keputusan muktamad berhubung kerjasama pilihan raya masih belum diumumkan.
“Kita sudah berbincang beberapa kali, termasuk dengan Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH dan keputusan muktamad akan kita umumkan apabila tiba waktunya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada GRS akan bertanding di majoriti kerusi dalam PRN akan datang, Hajiji menjawab ringkas, “Mestilah.”
Beliau turut menyentuh kedudukan parti-parti komponen lain seperti PBS dan STAR, dan memaklumkan bahawa GRS sedang meneliti aspirasi politik tempatan sebelum memuktamadkan sebarang keputusan rasmi.
“Kita akan buat keputusan terbaik untuk Sabah kerana bagi kita, kestabilan politik itu amat penting, bukan semata-mata untuk menang PRN tetapi juga memastikan selepas PRN kita dapat membentuk kerajaan yang stabil. Dari situ barulah kita boleh merancang dan membangunkan negeri dengan baik,” jelas beliau.

