Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah lulus projek tenaga 723MW, fokus jana kuasa Gas dan Tenaga boleh diperbaharui

KOTA KINABALU: Majlis Tenaga Sabah (MTS) hari ini meluluskan secara prinsip projek-projek tenaga berkapasiti 723 megawatt (MW) bagi memenuhi permintaan jangka sederhana tenaga elektrik negeri ini.

Projek tersebut merangkumi loji jana kuasa gas di Kimanis dan Tawau dengan jumlah kapasiti 360MW, serta 363MW tenaga boleh diperbaharui daripada sumber hidro dan angin, yang diluluskan secara bersyarat dari segi teknikal dan komersial.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang mempengerusikan mesyuarat di Menara Kinabalu, menegaskan bahawa semua keputusan mesti dibuat secara seimbang dan berhemah, mengambil kira keperluan industri, kemampuan pengguna serta pertumbuhan ekonomi negeri.

“Saya percaya dengan iltizam dan kerjasama semua pihak, MTS akan terus menjadi platform tertinggi menyelaras dasar tenaga negeri demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan beberapa projek “fast-track” yang diluluskan sebelum ini kini membuahkan hasil. Antaranya ialah peningkatan jidar simpanan tenaga daripada 10 peratus pada Januari 2023 kepada 17 peratus kini, dan dijangka mencecah 30 peratus menjelang hujung tahun.

Langkah tersebut turut menyumbang kepada pengurangan Indeks Purata Tempoh Gangguan Sistem (SAIDI) di Sabah daripada 363 minit (2023) kepada 215 minit (2024), dan seterusnya kepada 162 minit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Dalam masa sama, beliau menggesa agar syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) diperkasa untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap tenaga negeri.

Exit mobile version